SEMOGA PERJALANAN HIDUP KITA SENTIASA DALAM BIMBINGAN DAN REDHANYA SERTA DALAM PENGAMPUNANNYA. AMIIIIN……

Diari Ramadhan


Awwalul kalam
          
Salam mawadah wa rahmah buat Warga SKSR yang diingati sekelian..   Bertemu kembali di lembaran dan edisi Ramadhan untuk kita sama-sama menghayatinya. Pastinya peluang yang ada untuk beramal tidak akan di tinggalkan begitu sahaja. Begitulah Ramadhan yang kita lalui setiap tahun..Dan seharusnya kita bersyukur kerana dapat bertemu dengan Ramadhan kali ini.Rahmat dan kasih sayangNya,kita masih lagi dikurniakan dengan nikmat iman dan Islam. Moga kita tidak menjadi hambaNya yang kufur tetapi terus bersyukur dan berbakti kepadanya jua..

                Terlalu kerap melakukan kesalahan menjadikan seseorang itu merasakan kesalahan sebagai satu kebiasaan.Sehingga pada suatu ketika individu itu sukar untuk meninggalkan kesalahan tersebut.Hasil daripada kebiasaan tersebut pula menyebabkan hilang rasa bersalah ketika melakukan kesalahan atau dosa. Maka marilah kita bersama-sama mengkoreksi diri bagaimana tahap kualiti diri masing-masing.Beberapa perkara boleh diaplikasikan untuk mengatasi fenomena ini: seharusnya kita perlu merasa keagungan Allah swt,mendalami ilmu syari’, mencari persekitaran dan lingkungan yang soleh,tumbuhkan rasa takut su’ul khatimah (kesudahan yang buruk),banyak mengingati mati dan memuhasabah diri tatkala datang kelemahan.Menurut Ibnu Qayyim pula, bagi mengatasi kemalasan dari kekerasan hati ialah, pertama alihkan hatimu dari kekerasan dunia lalu tempatkan ia diakhirat,kedua hadapkan seluruh hatimu pada pengertian-pengertian Al-Quran.
                Justeru, marilah kita sentiasa menanamkan kesungguhan untuk terus mentarbiyah diri,Sesungguhnya,Bulan Ramadhan ini merupakan medan tarbiyah yang paling berharga untuk diikuti bermula dengan puasa itu sendiri, tadarrus Al-Quran, bersolat terawih,  bersahur, memperbanyakkan sedekah, beriktikaf, berzikir, berqiamullail, malam lailatul qadar dan berbagai lagi..Semoga Ibadah yang dilalui mampu menggugurkan sifat sifat mazmumah yang melekat didalam diri kita dan digantikan pula dengan sifat-sifat mahmudah..Sesungguhnya, selain didalam bulan Ramadhan musuh utama kita , musuh utama kita yang tida dapat dilihat ialah Syaitan dan nafsu, maka di bulan ramadhan ini hanya nafsu sahaja yang ada, sewajarnyalah kita mesti lebih kuat  dan mudah lagi untuk membuat pelbagai kebaikan dan pengislahan diri. Alakulihal, wa ilallahi tur ja ul umur (kepada Allah tempat kembali segala urusan), maka perbanyakkanlah memohon pertolongan dariNya....
Akhirnya...Selamat memeriahkan bulan Ramadhan. Sekiranya para sahabat boleh menang berperang dalam keadaan berpuasa di bulan Ramadhan....maka marilah kita sama sama berperang melawan hawa nafsu di bulan Ramadhan agar kita dapat hidup suburkan Ramadhan kali ini dengan iman dan taqwa kepada Rabb kita dalam membentuk peribadi yang mulia...InsyaAllah...
Jazakumullahukhairan kathira….
Wassalm.

ADAB BERPUASA DAN SOLAT TERAWIH

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya.

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia.

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...